Saturday 16 January 2016

Bermimpi Mahluk Berwajah Penuh Duri

Sekadar Gambar Hiasan.Dipijam dari baltyra.com


Kisah aneh yang ditulis ini adalah pengalaman sebenar yang diceritakan oleh sahabat kepada arwah ayah Tuan Asam.Peristiwa aneh dan seram ini terjadi disekitar tahun 2005.

Irwandi atau panggilan mesra dipanggil abang Wandi merupakan sahabat kepada arwah ayah Tuan Asam sendiri.Bertubuh sedikit sasa,berkulit hitam dan rambut sederhana panjang.Pekerjaan Abang Wandi hanyalah mengambil upah memotong pokok kayu di hutan untuk dijadikan papan-papan untuk rumah.Jika terdapat kayu-kayu lebih , Abang Wandi akan menjualnya kepada orang kampung.Harga kayu yang dijual berdasarkan bentuk saiz dan panjang kayu.Abang Wandi juga sering ditemani beberapa orang rakan-rakannya yang lain memotong kayu dihutan.Pendapatan yang mereka perolehi akan dibahagi sama rata selepas kayu-kayu habis dijual.

Petang itu ayah duduk di ruang tamu sambil menonton TV.Sesekali ayah menjenguk keluar pintu,seperti menanti kedatangan sesesorang.Beberapa ketika kemudian,kedengaran bunyi motosikal.Motosikal dihentikan,sesorang memberi salam.Tuan Asam dan ayah menjawab salam dengan serentak.Abang Wandi yang datang ke rumah.Patutlah ayah dari tadi asyik menjenguk keluar pintu.Rupa rupanya ayah menunggu sahabatnya itu datang ke rumah.Tuan Asam sudah tahu apa yang akan mereka berdua akan bincangkan.Jika sudah berjumpa,lain tidak,tentu sahaja bercerita mengenai jenis-jenis kayu yang hendak dipotong untuk dijadikan papan atau tiang rumah.
Abang wandi sering kerumah berjumpa ayah.Ayah merupakan pelanggan tetap dan sering membeli kayu dan papan-papan dari abang wandi.Cuma beberapa bulan ini abang wandi seperti jarang datang kerumah .Mungkin disebabkan kesibukan keluar masuk hutan.


Kedatangan abang wandi ke rumah berjumpa ayah pada petang itu bukan sahaja bercerita atau berbincang tentang kayu.Tetapi ada cerita lain yang keluar dari mulut abang wandi yang membuatkan Tuan Asam yang tengah kusyuk menonton memasang telinga.Bukan niat Tuan Asam hendak menyampuk atau menyibuk tetapi mungkin pengalaman yang dialami oleh abang wandi boleh Tuan Asam jadikan pengajaran.Pengajaran untuk diri sendiri dan boleh diceritakan dan dikongsi kepada anak-anak generasi akan datang.

Sekadar gambar hiasan.Dipinjam dari mimpiarti.com

Abang Wandi pun memulakan ceritanya.
Subuh - subuh lagi abang wandi sudah pun memeriksa rantai Chainsaw sebelum abang wandi dan rakan-rakannya yang lain bertolak masuk kedalam hutan mencari kayu.Biasanya abang wandi ditemani oleh 2 lagi rakannya untuk masuk ke hutan memotong kayu.Kali ini hanya dia dan anak buahnya sahaja yang akan masuk kedalam hutan.Seorang lagi rakannya tidak dapat turut serta mencari dan memotong kayu atas sebab masalah kesihatan.Hanya menggunakan motosikal sebagai pengangkutan yang ada,abang wandi segera menjemput anak buahnya yang berada di hujung kampung.Pagi-pagi lagi mereka berdua menunggang motosikal jauh ke hujung kampung menuju ke jalan masuk hutan yang hendak dituju.

Jalan masuk hutan itu sudah pun mereka lalui banyak kali sebelum ini.Lokasi dimana mereka memotong kayu agak begitu jauh kedalam hutan.Motosikal yang mereka tunggang disimpan jauh dari lokasi,kerana jalan masuk yang mereka akan lalui sempit,berliku dan  hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki.Setiba di lokasi,mereka meneruskan kerja memotong pokok yang telah ditebang beberapa hari lalu untuk dijadikan papan dan kayu.

Disebabkan cuaca panas dan matahari memancarkan sinar yang panas,abang wandi mengambil keputusan untuk berehat seketika.Tenaga dan keringatnya tidaklah sekuat ketika usianya masih muda.Kerja memotong kayu diserahkan seketika kepada anak buahnya yang masih muda dan kelihatan gagah.Abang wandi duduk bersandar di balik pokok besar sambil mengelap mukanya yang berpeluh dan dipenuhi habuk kayu dengan tuala kecil bercorak bunga yang tergantung di lehernya.Abang wandi keletihan dan lapar,diambilnya beg yang berisi bekal dan sebotol air.

Sedang beliau mengambil beg tiba-tiba mata abang wandi terpandang suatu benda yang belum pernah dilihatnya sebelum ini.Sepanjang 20 tahun lebih dia memotong kayu dihutan,ini kali pertama abang wandi terjumpa benda yang dirasanya bukan sahaja sesuatu yang pelik malah sesuatu yang dirasanya cukup berharga.Sebuah tempayan kecil tembaga berukiran tulisan purba seakan tulisan jawi tertanam separuh tanpa penutup.Tempayan kecil yang berisi tanah itu seperti memanggil Abang Wandi.Abang Wandi menyimpan kedalam beg tanpa pengetahuan anak buahnya yang tengah bersemangat memotong kayu.Tempayan kecil itu dirahsiakan tanpa pengetahuan sesiapa.

Jam sudah pun menunjukkan 3 petang.kelihatan mereka berdua keletihan terutama abang wandi.Abang wandi mengajak anak buahnya untuk berkemas dan pulang lebih awal.Kayu kayu selebihnya disimpan baik.Kerja memotong kayu akan diteruskan keesokkan harinya.Sepanjang menyusuri jalan keluar,tiba tiba sahaja hujan sedikit renyai turun dari langit.Seperti hujan panas.Abang Wandi dan anak saudaranya merasa hairan melihatkan hujan yang renyai tiba tiba turun tanpa menunjukkan sedikit perubahan cuaca kerana petang itu agak panas.Abang wandi juga merasakan ada sesuatu yang mengekori dia di balik pokok pokok besar.Mungkin khayalannya sahaja dan abang wandi tidak menghiraukannya.Mereka berdua meneruskan perjalanan sehingga selamat sampai kerumah masing-masing.

Malam itu abang Wandi duduk bersila diruang tamu ditemani radio kesayangannya yang memutarkan lagu lagu rock jiwang 90an.Sambil menghisap rokok,abang Wandi mengambil semula tempayan kecil misteri dari dalam beg.Diperhatikannya,dibelek dan dipusing-pusingkan tempayan kecil itu sambil meneliti tulisan tulisan kuno seakan huruf huruf jawi yang terukir pada tempayan kecil itu.Abang Wandi seperti terpukau melihat tulisan dan ukiran yang ada pada tempayan itu.Sungguhpun tempayan misteri itu kecil,namun tempayan itu seperti memberi suatu kuasa yang luar biasa.Dalam hatinya tertanya tanya,apakah yang harus dia lakukan pada tempayan kecil itu.Dia merasa serba salah.Samaada ingin menyimpan tempayan kecil itu sebagai koleksi atau menjualnya.Memandangkan abang Wandi sering mengalami masalah kewangan,terdetik juga dihati kecilnya untuk menjual tempayan misteri itu.Barang kali ini barang antik dan jika dijual,mungkin sahaja harganya mencecah puluhan ribu bisik hati kecilnya.Tapi,kepada siapakah tempayan ini harus dijual?Tanya hati kecilnya.

"Dari mana kau dapat tempayan kecil tu Wandi" khayalan Wandi terputus dan tiba-tiba sahaja ayah Wandi menyapa dari belakang.
Pada mulanya abang Wandi berniat untuk berbohong namun melihatkan ayahnya yang seakan akan benar dan ingin tahu makan abang Wandi terpaksa menceritakan perkara sebenar dan dimana dia memperolehi tempayan itu.

"Aku jumpa didalam hutan tadi ayah,sewaktu aku pergi memotong kayu-kayu dihutan" jawap abang wandi.

"Kau dah gila wandi?Kan ayah dah pesan jangan ambil apa-apa barang dari dalam hutan dan bawanya balik ke rumah.Ayah rasa macam ada yang tak kena dengan tempayan tu.Bentuk tempayan tu mana pernah ayah tengok sebelum ini" ayah wandi seakan marah.

"Ala,ayah ni kolot lah.Ni kan tempayan antik.Mana ada apa-apa yang pelik tentang tempayan ini" abang Wandi cuba meyakinkan ayahnya sambil menggoncangkan tempayan kecil itu.

"Baik kau hantar barang ni kembali ke tempat asal.Kau jangan degil.Ayah ni dah lama hidup,tahu selok belok hutan kat kampung ni.Tahu pantang larang keluar masuk hutan.Ayah nak kau hantar tempayan tu balik tempat asal.Atau pemilik tempayan tu datang jumpa kau dalam jelmaan yang tak pernah kau tengok sebelum ini" pesan ayahnya.

Abang Wandi hanya berdiam sambil memerhati tempayan kecil itu seperti berkhayal akan sesuatu.Abang wandi sudah mula menguap mengantuk dan beredar dari beranda menuju ke bilik tidurnya.Esok masih ada lagi kayu-kayu yang hendak dipotong.Minggu ini juga kayu-kayu itu harus dihantar dan dijual kepada pelanggan pelanggannya yang memesan kayu tersebut.Malam itu radio kesayangannya dibiarkan menyanyi sendirian.Ayah abang wandi hanya menggelengkan kepala.Ayah abang Wandi sudah faham dan masak dengan perangai anaknya yang degil dan berkepala seperti kayu itu.

Malam itu,sewaktu tidur abang wandi bermimpi didatangi mahluk besar tinggi berwarna hitam.Wajahnya penuh dengan duri-duri besar,sebesar jari jari manusia.Giginya yang berwarna merah menampakkan senyuman yang menakutkan.Kedua-dua mata mahluk itu yang berwarna hijau memerhati wajah abang wandi seperti inginkan sesuatu.Didalam mimpi itu,abang Wandi berkomunikasi dengan mahluk itu didalam sebuah hutan yang gelap dan rasanya pernah dilihatnya sebelum ini.Hanya mereka berdua.Mahluk itu seakan-akan inginkan sesuatu dari abang Wandi.

"Kau nak apa?!"abang wandi mula bertanya kepada mahluk itu.Mahluk itu hanya ketawa besar.Menampakkan giginya yang merah bercahaya dan lidah yang agak panjang.

"Sudah lama aku tidak keluar dari hutan.Sudah lama aku tidak bertuan.Sudah lama aku perhatikan kau.Sudah lama aku ingin bersujud kepada kau" mahluk yang bersuara garau dan seram itu menjawab soalan abang Wandi dengan renungan mata yang menakutkan.

"Aku tak kenal kau!Aku tak kenal kau!.Kau siapa?!" jerit abang Wandi.

"Aku duduk didalam tempayan itu.Tuan aku sudah lama tak panggil aku.Mahukah kau jadi tuan aku?" mahluk itu seperti merayu dengan senyuman yang agak menyeramkan.

"Apa kau boleh beri kalau aku jadi tuan kau?" abang wandi bertanya lagi

"Aku ada kuasa.Aku ada kekuatan yang luar biasa.Aku boleh beri kau kuasa itu.Kau boleh jadi kuat.Kau boleh tawan semua hutan-hutan disini.Orang -orang akan hormat kepada kau!Aku akan sentiasa temankan kau!Aku akan jadi kawan baik kau!!" mahluk itu seperti memberi janji manis yang agak beracun dan menakutkan.

"Aku tak nak!Aku tak nak berkawan dengan kau!Aku tak ingin berkawan dengan mahluk seperti kau!!" abang Wandi mula melawan.Mahluk itu kelihatan marah dan tidak senang dengan jawapan yang abang Wandi berikan.

Didalam mimpi itu abang Wandi melarikan diri didalam hutan tebal yang gelap tanpa sebarang cahaya.Mahluk itu memulakan langkah yang agak panjang mengejar abang Wandi yang sudah melarikan diri.abang Wandi mengambil keputusan untuk membunuh dan berlawan dengan mahluk itu didalam mimpi.

Tengah malam itu,ayah wandi terdengar seperti dinding bilik abang wandi dicakar dan diketuk sesuatu.

"Apa pulak yang wandi buat tengah-tengah malam ni?" ayah abang wandi mula bertanya.

Beberapa ketika kemudian,kedengaran suara abang Wandi bercakap-cakap didalam tidur seperti orang mengigau.Dinding bilik tidurnya dicakar dan ditumbuk.Ayah abang Wandi membangunkan isterinya yang sedang nyenyak tidur.Mereka berdua berlari menuju masuk kedalam bilik abang Wandi.Kedua-dua orang tuanya itu terkejut dan tidak berhenti mengucap kalimah Lailahaillahlah apabila melihat kelakuan abang Wandi seperti mengamuk kerasukan dan melawan sesuatu.

Ayah abang Wandi segera menelefon abangnya yang tinggal di tengah kampung.Abang Wandi masih lagi kelihatan meracau seperti berlawan dan bercakar dengan sesuatu.Pak cik abang wandi tiba dirumah.Melihatkan keadaan anak abangnya itu,pak cik kepada abang wandi segera memeluk tubuh abang Wandi yang meracau seperti dirasuk sesuatu itu.Berkumat kamit mulut pakcik abang wandi.Dibacanya beberapa surah dan ayat suci alquran kemudian ditiup kearah kedua-dua belah telinga abang Wandi.Abang Wandi sudah mula berdiam.Mata abang Wandi terbeliak menampakkan urat-urat merah dimatanya.Mulutnya berkumat kumit seperti berkata sesuatu dalam bahasa yang tidak difahami.Abang Wandi yang sudah mula kelihatan lemah dan tidak bermaya dibiarkan bersandar ditepi katil.Abang Wandi yang kehausan berpeluh basah meminta air.Mendengarkan keadaan tengah malam itu agak riuh rendah,jiran-jiran bersebelahan rumah abang Wandi datang menjenguk.Ingin tahu akan hal yang telah berlaku.

Selepas meneguk 2 gelas air, abang Wandi mula bersuara " Ayah,ada sesuatu datang kepada dekat wandi.Dia nak bagi Wandi kekuatan"

Ayahnya dan pak ciknya disitu mula kelihatan pelik dan tertanya-tanya.Kekuatan apakah yang Wandi maksudkan.

"Kan ayah dah cakap kau jangan bawak balik benda pelik-pelik dari hutan!" marah ayahnya.Mata abang Wandi hanya berkelip-kelip.

"Barang apa tu?" pakcik abang Wandi inginkan kepastian

"Siang tadi.Si Wandi ni jumpa tempayan kecil tembaga yang agak pelik dan mencurigakan.Tadi aku tengok dia diberanda rumah tengah asyik perhatikan tempayan tu.Aku suruh dia hantar balik tapi dia buat buat pekak" jawab ayah abang Wandi dengan nada yang kesal.

"Bagi sini.aku nak tengok tempayan tu!" pak cik abang Wandi mula ingin tahu

Sekadar gambar hiasan.dipinjam dari asysyariah.com

Alangkah terkejutnya pak cik abang Wandi melihatkan tempayan itu.Menurut pak cik abang Wandi ,tempayan kecil tembaga berukir tulisan kuno ini bukanlah sembarang tempayan.Bukan tempayan antik seperti yang abang Wandi khayalkan.Tempayan itu sebenarnya digunakan oleh orang-orang yang mengamalkan ilmu hitam.Tempayan ini digunakan sebagai tempat menyimpan mahluk-mahluk jin atau hantu yang memberi kekuatan yang luarbiasa.Pengamalnya akan memiliki kekuatan yang boleh menumbangkan pokok sebesar sepemeluk hanya dengan menggunakan kedua-dua belah tangan.Dengan syarat,jika pengamal masuk kedalam hutan,pengamal tidak boleh diikuti oleh orang lain,selain jin yang mendampingi dirinya.

Hantu yang menjelmakan dirinya didalam mimpi abang Wandi menurut pak ciknya dipanggil hantu Pohon Nibong.Hantu ini merupakan antara hantu yang memberi pinjam kekuatan yang luar biasa kepada tuannya.Menurut pak ciknya lagi,abang wandi bernasib baik kerana di alam mimpinya dia berani bersemuka dan melawan kata-kata hantu nibong itu.Biasanya mereka yang mengalami mimpi ini akan meracau kerasukan setiap malam.Sehingga lah hantu nibong itu dimusnahkan.

Nampaknya pemilik tempayan kecil ini mungkin hilang masuk kedalam alam jin atau tempayan kecil tembaga itu sengaja dibuang jauh kedalam hutan tebal kerana pengamalnya merasakan kekuatan itu hanya palsu.

Biasanya hantu-hantu yang mempunyai kekuatan luarbiasa ini hanya boleh didapati di hutan-hutan tebal dan tinggal dibawah pokok-pokok besar yang berusia ratusan tahun.Menurut cerita orang-orang kampung lagi,jika terdapat pokok-pokok besar yang dikelilingi oleh siput,maka pokok itu adalah tempat dimana mahluk halus atau jin-jin tinggal dan beranak pinak.Dengan kata lain,pokok itu adalah perkampungan mahluk halus,hantu dan jin.Siput atau cengkerang-cengkerang yang ditinggalkan itu adalah bekas makanan jin dan mahluk halus.

"Esok aku nak kau dan pakcik kau hantar balik tempayan ni di tempat kau jumpa tu" pesan ayah abang wandi.

Malam itu abang Wandi tidur ditemani oleh pakciknya.Bimbang jikalau mahluk itu kembali menghantui mimpi abang Wandi.

Keesokkan harinya,subuh-subuh lagi abang Wandi ditemani oleh pakciknya menuju masuk kedalam hutan dimana tempayan itu dijumpai.Kerja memotong kayu dibatalkan dan ditangguh untuk beberapa hari.Tempayan itu dibungkus elok dengan kain kuning dan diisi sedikit tanah.Pak cik kepada abang Wandi mengambil keputusan untuk masuk jauh kedalam hutan untuk menanamnya.Bimbang jikalau ada orang lain yang terjumpa tempayan kecil penuh misteri itu.Mereka berdua menanamannya jauh dari lokasi dimana tempayan itu dijumpai.Malam itu abang Wandi tidur dengan nyenyak tanpa sebarang gangguan dari mahluk yang pernah datang menggangu dalam mimpinya sebelum ini.

Hanya beberapa hari selepas peristiwa itu.Barulah abang wandi menceritakan perkara itu kepada anak buahnya yang pernah menemani dia memotong kayu sewaktu abang wandi menemui tempayan kecil itu.Abang wandi meminta maaf kepada anak buahnya kerana merahsiakan penemuannya tentang tempayan kecil itu.Anak buahnya sedikit terkejut mendengar cerita dan pengakuan yang keluar dari mulut pak cik nya itu.
"Kalaulah aku tak bawak benda tu balik kerumah hari itu,sudah tentu aku tak bermimpi yang pelik-pelik" kata kesal keluar dari hati abang Wandi.

Abang wandi tidak mahu menyalahkan dirinya atau sesiapa lagi.Peristiwa seram dan pelik itu akan dia jadikan pengajaran.

Selesai sahaja abang Wandi menghabiskan ceritanya petang itu.Ayah dan abang Wandi beredar keluar menuju ke rumah kawannya yang seorang lagi.Sebelum beredar melangkah keluar pintu,abang Wandi membakar sebatang  rokok kesukaannya berjenama RAVE.Sempat juga dia berpesan,kalau jumpa barang-barang pelik atau tumbuhan-tumbuhan pelik yang memukau mata,cepat-cepat pandang tempat lain.Takut dan bimbang kalau-kalau dibawa pulang,pemiliknya akan menagih dalam jelmaan yang tak pernah kita fikirkan.Wallahualam....

Peristiwa dan pengalaman seram yang dialami oleh abang wandi kini Tuan Asam hamparkan diatas blog ini.Mungkin selepas ini abang Wandi boleh tersenyum gembira membacanya kerana pengalamannya itu telah dikongsi dan akan dibaca oleh seluruh blogger-blogger.

Abang Wandi sudah tidak lagi menjadikan pekerjaan memotong kayu dihutan sebagai pekerjaan tetapnya.Kini dia sudah bekerja sebagai pemandu lori tangki minyak di bandar.Hanya sesekali beliau pulang ke kampung melepaskan rindu masuk ke dalam hutan untuk memotong pokok kayu untuk dijadikan papan.

Bantu Saya Untuk Tunaikan Impian Mendapat 1 JUTA Klik.
Klik DISINI Untuk Penuhi Impian Saya.Terima Kasih
Pautan Ditaja Oleh Lynk.my

No comments:

Speak Your Mind

Powered By Blogger · Designed By Seo Blogger TemplatesPublished.. Blogger Templates